Found at:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/EdisiWilayah/2007120...
TEMERLOH: Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) menerima 320 permohonan
untuk menjalankan kegiatan menternak burung walit di sekitar bandar
itu termasuk Mentakab, tetapi masih belum mengeluarkan sebarang
kelulusan setakat ini.
Jumlah permohonan yang tinggi bagi sesebuah pekan kecil seperti
Mentakab itu, jelas menunjukkan aktiviti itu mula mendapat perhatian
penduduk berikutan populasi burung walit yang semakin bertambah di
situ.
Bagaimanapun, MPT tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan lesen kegiatan
itu, sebaliknya perlu mengambil kira pelbagai faktor persekitaran dan
kesan sampingannya, berikutan ia membabitkan premis di kawasan
bandar.
Yang Dipertua MPT, Datuk Zulkifli Yaacob, berkata pihaknya terpaksa
menggantung sementara semua kelulusan untuk 320 permohonan itu kerana
perlu merujuk kepada garis panduan baru bagi penternakan burung walit
yang akan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
tidak lama lagi.
"Setakat ini hanya tiga pengusaha saja diberikan lesen oleh MPT
berdasarkan kepada garis panduan lama.
"Dua pengusaha beroperasi di premis perniagaan di pekan Mentakab,
manakala satu pengusaha lagi beroperasi di Temerloh dengan pemantauan
berterusan oleh pihak MPT.
Selain tiga pengusaha ini, dianggarkan antara 100 hingga 200 pengusaha
di Mentakab dan Temerloh, adalah mereka yang tidak berlesen," katanya
di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Berita Harian
minggu lalu berhubung masalah kekotoran di pekan Mentakab yang
dikatakan berpunca daripada najis burung walit memenuhi dinding premis
di pekan itu.
Kebanjiran populasi burung berkenaan sehingga memberi imej kotor di
bandar itu, dikatakan berpunca daripada kegiatan menternak burung
walit untuk mendapatkan sarangnya yang berharga RM3,000 hingga RM4,000
sekilogram.
Keadaan ini menyebabkan banyak premis haram diubahsuai menjadi gua
tiruan untuk habitat burung itu, selain mewujudkan masalah bunyi
bising akibat sistem audio frekuensi tinggi yang digunakan pengusaha
untuk memanggil burung itu.
Zulkifli berkata, MPT sudah mengeluarkan 10 saman kepada premis yang
diubahsuai secara haram berdasarkan aduan orang ramai berikutan
terdapat gangguan bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman awam.
"Sebenarnya, burung walit bukan jenis yang pengotor kerana najisnya
hanya ada dalam bangunan dan ini berbeza dengan burung layang-layang
yang membuang najis di merata tempat sehingga mengotorkan pekan
Mentakab.
"Sebab itu, jika lesen dikeluarkan sekalipun, kita hanya benarkan bagi
penternakan burung walit saja," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment