Sunday, November 4, 2007

Johor: Johor Prefer Birdhouse To Be Located Out of Town Areas

Ternak Burung Walit Di Kawasan Luar Bandar Sahaja


JOHOR BAHRU, 12 Jun:

Aktiviti menternak burung walit untuk diambil sarangnya akan ditumpukan ke kawasan luar bandar bagi memudahkan kerja pemantauan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ahmad Zahri Jamil berkata pengalihan tumpuan dari kawasan bandar juga adalah bagi memastikan aktiviti itu membangun dengan lebih tersusun.

Katanya menternak burung walit untuk sarangnya merupakan satu aktiviti ekonomi yang amat menguntungkan dan berdaya maju tinggi.

“Aktiviti ini membangunan dengan pantas dan sehingga kini, terdapat 208 premis yang tidak berpenghuni telah diubah suai menjadi rumah burung walit yang diusahakan 204 orang.

“Sebagai langkah memastikan ia membangun dengan lebih tersusun, Kerajaan akan hanya menggalakkan aktiviti ini di luar kawasan majlis daerah sahaja,” katanya menjawab pertanyaan ahli Dewan Negeri kawasan Pemanis, Lau Chin Hoon mengenai perkembangan aktiviti itu.

Ahmad Zahri berkata lesen hanya akan diberi kepada pengusaha yang telah membuktikan keupayaan mereka serta mampu mencadangkan kawasan yang mempunyai populasi burung walit yang tinggi.

Beliau berkata setakat ini, pembabitan Kerajaan Negeri dalam aktiviti ini adalah minima dan kesemua projek sedia ada diusahakan samada secara individu atau syarikat swasta.

Burung walit atau nama saintifiknya aerodramus fuciphagus adalah sejenis burung dari spesis burung layang-layang yang berasal dari kawasan hutan rimba dan gua batu di Asia Selatan, kepulauan di selatan Lautan Pasifik dan kawasan timur laut Australia.

Berbanding burung layang-layang yang membuat sarang menggunakan daun, ranting halus dan batu kecil, burung walit menggunakan air liurnya untuk membuat sarang.

Menurut masyarakat Cina, sarang burung walit memiliki khasiat tersendiri dan mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran menyebabkan harganya boleh mencecah sehingga RM25,000 sekilogram.

Menjawab soalan tambahan wakil rakyat Yong Peng, Lim Kee Moi mengenai kemungkinan burung ini membawa virus selsema burung, Ahmad Zahri berkata setakat ini perkara itu belum dibuktikan lagi.

No comments: